Sebarang aduan kerosakan premis milik kerajaan yang diterima oleh JKR Daerah/Negeri daripada pelanggan perlu diuruskan dengan baik. Adalah penting untuk aduan kerosakan yang diterima dibuat siasatan awalan bagi mengenalpasti adakah kerosakan dialami melibatkan kegagalan struktur utama seperti kekuda bumbung, rasuk, lantai dan tiang atau sebaliknya seperti kerosakan kemasan arkitek, serangan anai-anai dan kebocoran bumbung/tandas. Jika terdapat kerosakan yang melibatkan kegagalan struktur utama, penyiasatan forensik lanjut boleh dipohon dari Bahagian Forensik (Struktur & Jambatan), Cawangan Kejuruteraan Awam Struktur Dan Jambatan (CKASJ), Ibu Pejabat JKR Malaysia dengan mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.
Prosedur permohonan yang telah ditetapkan adalah:
- Semua aduan kerosakan bangunan milik kerajaan persekutuan perlu dilaksanakan pemeriksaan awalan oleh JKR Daerah/negeri.
- Semua laporan kerosakan dari pemeriksaan mesti disertakan dengan borang Laporan Awalan Kerosakan Struktur Bangunan.
- Laporan kerosakan dari JKR Daerah yang telah lengkap mesti dikemukakan kepada Bahagian Senggara Persekutuan Negeri (BSPN) untuk dimajukan kepada Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan (BSFB) Ibu Pejabat JKR Malaysia selaku Ketua Pasukan Projek aktiviti penyelenggaraan bangunan kerajaan.